Kemahiran Membuat Nota
Oleh : Norhisham Hj. Omar
Dalam proses kemahiran belajar yang berkesan kepada pelajar, membuat nota merupakan komponen yang dianggap remeh. Kajian secara rambang
di sekolah harian, 65 % pelajar tidak membuat nota
sewaktu mengulangkaji pelajaran. Ada di antara pelajar yang
membuat nota tetapi tidak menyimpan atau mengumpulnya secara sistematik. Peranan
nota kepada daya ingatan manusia merupakan elemen yang tidak perlu disangkal
lagi. Ingatan manusia akan lupa 80% dalam masa 24 jam selepas menerima maklumat
baru atau lama. Justeru itu, kalau kita lihat sistem pembelajaran di sekolah,
guru-guru akan mengarahkan pelajar untuk menyalin nota yang disediakannya
dengan harapan agar pelajar boleh membuat ulangkaji di rumah dan menjadi bahan
bacaan penting apabila berhadapan dengan musim peperiksaan. Namun penyimpanan
dan pengumpulan nota menjadi perkara yang perlu dititikberatkan kerana ia mampu
menjadi motivasi kepada pelajar untuk mengulangkaji pelajaran. Mengikut Tony
Buzan, kombinasi penggunaan otak kanan dan kiri akan menguatkan lagi daya
ingatan manusia. Pelajar sering menggunakan otak kiri untuk
menyimpan dan mengeluarkan semula maklumat. Oleh itu, kaedah menghafal yang hanya melibatkan penggunaan otak kiri mempunyai
tempoh ingatan yang kurang efektif. Apabila pelajar ingin membuat
nota sewaktu mengulangkaji pelajaran, aspek kombinasi otak kiri dan
kanan perlu diambil kira agar ingatan menjadi mudah dan seronok.
Berikut adalah beberapa tip untuk menyediakan nota pelajaran.
Kebiasaan pelajar akan menggunakan
kertas kajang, ‘examination
pad’, kad manila yang dipotong
pendek (nota ringkas) ataupun buku untuk membuat
nota. Kelemahan sewaktu menyediakan
nota ialah bahan-bahan ini tidak dikumpul dengan sistematik menyebabkan usaha membuat nota menjadi
sia-sia. Kadang-kadang pelajar bersikap
‘hangat-hangat tahi ayam’ apabila rajin
pada suatu masa (terutamanya selepas menghadiri kem motivasi) dan
akhirnya kembali malas semula. Pada peringkat awal ini, nota dibuat
dengan cantik dan kemas namun
selepas itu, tidak tahu di
mana diletakkan nota tersebut. Oleh itu, kumpullah nota dan gunakan
dengan sebaik mungkin.
Apabila membaca, manusia akan
tertarik dengan bahan-bahan yang berwarna-warni. Oleh itu, sebaik-baiknya pelajar menggunakan paling
minimum 2 warna apabila membuat nota. Mencatat nota biasa menggunakan
warna biru misalnya dan menulis
dengan pen hitam untuk fakta-fakta atau perkataan-perkataan penting. Selain itu, pelajar juga boleh menggunakan
‘highlight’ yang berwarna untuk
memberi penekanan kepada fakta penting.
Kadangkala penggunaan pensil juga perlu terutamanya apabila menggunakan
kaedah gambar dalam menulis nota.
Pelajar
perlu ingat, nota yang dibuat adalah untuk dibaca sebagai bahan ulangkaji.
Sekiranya nota ditulis dengan tulisan yang tidak cantik,motivasi kendiri
pelajar akan menjadi lemah kerana tidak berminat untuk menatap dan membaca nota
yang telah dibuat sendiri. Buatlah nota dengan kemas supaya ia seronok untuk
dibaca sepanjang masa.
Apabila
kita menulis nota, hanya fakta-fakta yang dianggap penting sahaja yang perlu
dimasukkan ke dalam nota tersebut. Fakta-fakta itu pula perlu diolah ayatnya
agar menjadi pendek dan ringkas. Sekiranya nota menjadi panjang, pelajar akan
mula menjadi malas untuk membacanya.